Advertisement

banner welcome back
  • IPT diminta tidak salah guna terma ‘Antarabangsa’
    Pulau Pinang 16 Disember 04:30p.m │ Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diingatkan supaya tidak menyalahgunakan istilah ‘antarabangsa’ pada setiap program yang mereka anjurkan.

    Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, jika menyebut antarabangsa, maka sebahagian peserta yang menghadiri program antarabangsa yang mereka anjurkan mestilah datang dari negara luar.

    “Saya telah banyak menghadiri program anjuran IPT yang disebut sebagai antarabangsa tetapi bilangan peserta luar negara hanya dua hingga tiga orang sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menutup Forum Antarabangsa Pengajian Tinggi, di sini hari ini.

    Forum empat hari itu yang berakhir hari ini dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) yang dihadiri 213 peserta dari 32 buah negara.

    Saifuddin turut mengingatkan IPT supaya memilih pendekatan yang benar-benar relevan dengan budaya dan tradisi di Malaysia khususnya dalam pengukuran tahap kecemerlangan masingmasing.

    “Bukan semua kaedah dan pendekatan yang diguna pakai oleh universiti di Eropah dan Amerika Syarikat sesuai dengan budaya dan tradisi negara kita.

    “Oleh itu setiap universiti di negara ini harus ada cara sendiri untuk mengukur tahap kecemerlangan ilmu agar sesuai dan relevan dengan amalan di negara kita,” katanya.

    Saifuddin berkata, Kementerian Pengajian Tinggi juga telah memulakan sistem setara sejak 2006 iaitu piawaian yang digunakan untuk mengukur perkembangan setiap IPT di negara ini.

    “Sistem ini juga merupakan salah satu komitmen kementerian dalam pengukuran tahap kecemerlangan ilmu yang sesuai dengan keperluan budaya dan tradisi kita,” katanya. – BERNAMA

    more
  • Selamat Kembali Ke Kampus Assalamualaikum wrh wbt dan salam sejahtera.

    Sudah hampir sebulan lebih kita bercuti, kini semester baru 2009/2010-2 telah bermula. Saya pasti dan yakin mahasiswa-mahasiswi UTM telah memanfaatkan cuti tersebut dengan perkara-perkara yang berfaedah setimpal dengan gelaran mahasiswa yang telah dianugerahkan.

    Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat kembali ke kampus kepada seluruh warga UTM khususnya buat mahasiswa-mahasiswi UTM dan semoga semester yang baru ini akan membuka lembaran baru dalam diari kehidupan kita sebagai mahasiswa.

    Keputusan peperiksaan semester lepas telah pun kita ketahui. Antara kita, ada yang mendapat keputusan yang cemerlang dan ada pula yang kecundang. Itulah ia warna-warni kehidupan kampus. Adakalanya kita di atas dan adakalanya kita di bawah seakan-akan roda yang berputar.

    Akan tetapi, kita mampu mencatur halatuju perjalanan kita sebagai mahasiswa di kampus. Kita perlu merancang strategi pembelajaran bagi mencapai kejayaan yang lebih baik. Dampingi para pensyarah dan tingkatkan kerjasama dengan rakan-rakan agar kejayaan yang diperolehi lebih bermakna.

    Sebagai mahasiswa, corak pemikiran kita tidak hanya tertumpu kepada bidang akademik sahaja. Kita juga perlu melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti non-academic yang dapat memberi nilai tambah kepada setiap yang bakal menempuhi alam pekerjaan kelak.

    Janganlah kita sekadar menjadi mahasiswa 3K yang aktiviti hariannya sekadar berkisar pada kuliah, kantin dan kolej. Mahasiswa perlulah mempunyai ciri-ciri yang dinamik, suka bersaing, resposif dan berintegriti ke arah melahirkan pemimpin-pemimpin yang memacu Malaysia ke arah Malaysia Baru.

    Sekian. Wassalamualaikum wrh wbt. Terima kasih. Syukran jazilan. Thank You.

    NUR AZIM FAHADA BIN AHMAD
    Pengerusi Pro-Mahasiswa UTM

    more
  • 2009 dan jatuh bangun gerakan mahasiswa Malaysia Oleh: Mohd Aizat Salleh*

    Sewajarnya, untuk membandingkan aktivisme gerakan mahasiswa dahulu, dengan gerakan mahasiswa hari ini adalah amat tidak releven. Seumpama meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya.

    Mahasiswa dahulu diambil kira kehebatannya melalui gerakan-gerakan demonstrasi dan siri-siri desakan yang kebanyakannya menuju kepada pihak pemerintah. Sebagai contoh dalam tahun 1974, mahasiswa menggerakkan demonstrasi 5,000 rakyat di Kelab Sultan Selangor mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap masalah kemiskinan di Baling.

    Lebih dari itu pada tahun yang sama di Universiti Malaya, mahasiswa yang diketuai presiden PMUM Kamaruzzaman Yaakub, membina sejarah apabila mengambil alih pentadbiran UM hanya kerana isu kenaikan harga makanan.

    Nampak ketika itu, mahasiswa begitu konsisten bersifat radikal dan desakan dan ia diterima sebagai satu perjuangan di mata rakyat.

    2009 dan gerakan mahasiswa

    Tempoh setahun pasca Pilihan Raya Umum ke-12, membuka dimensi baru gerakan mahasiswa dalam membentuk landskap negara Malaysia. Terkesan dengan angin perubahan yang melanda rakyat, lalu memberi impak kepada kemenangan kumpulan Pro Mahasiswa di kampus Universiti Malaya setelah hampir enam tahun dikuasai kumpulan Pro Kerajaan.


    Bermula kemenangan itu, mahasiswa mula membuka satu lapangan baru dalam mendepani isu-isu serta mencorak gerakan. Barisan Bertindak Mahasiswa Nasional (BBMN) telah diwajahkan kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN). Perjuangan bercorak negosiasi profesional membawa MPMN menjuarai isu-isu sosial nasional negara.

    Permulaan gerakan, transformasi Malaysia


    Kegagalan kerajaan Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak menangani kebajikan rakyat, kemelesetan ekonomi, serta hubungan kaum dan agama, membawa Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) membentuk satu ‘Deklarasi Mahasiswa’ demi menyelamatkan generasi dan Malaysia.

    Satu kongres telah diadakan di Shah Alam yang dihadiri front-front mahasiswa seluruh Malaysia bagi membincangkan domain-domain penting ke arah pembentukan negara Malaysia yang lebih baik. Antaranya aspek hubungan kaum, kedudukan agama, perlembagaan dan demokrasi, undang-undang, pendidikan, pembangunan ekonomi dan hak-hak asasi rakyat Malaysia.

    Perjuangan rakyat antarabangsa


    Pertengahan bulan Julai, mahasiswa sekali lagi turun di jalanan apabila membantah perlakuan kejam pembunuhan beramai-ramai di masjid wilayah Selatan Thailand. Hampir 1000 mahasiswa berarak bermula dari Masjid As-Syakirin ke kedutaan Thailand dan diakhiri dengan penyerahan memorandum bantahan.

    Beberapa rakan-rakan aktivis yang ditahan atas provokasi polis namun dilepaskan selepas 6 jam dalam tahanan.

    Mahasiswa membela rakyat


    Mahasiswa sentiasa menjadi urat nadi kepada kesengsaraan rakyat yang ditindas dan dizalimi. Seringkali suara-suara rakyat digemakan mahasiswa melalui perjuangan pembelaan kelompok kecil dan marhaen.

    Isu kudeta negeri Perak pada bulan Februari menjadi perhatian mahasiswa apabila GAMIS dan SMM bertindak memobilasi mahasiswa dalam perhimpunan rakyat Perak di Masjud Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak.

    Dalam masa yang sama di Istana Negara, kumpulan-kumpulan mahasiswa yang prihatin dan simpati dengan perjuangan rakyat Perak telah menghantar satu memorandum bantahan kudeta kepada Yang Dipertuan Agung. Di dalam tuntutan tersebut, mahasiswa mendesak agar dibubarkan segera DUN Perak bagi memberi mandat kepada rakyat Perak memilih pemimpin.

    Selain daripada itu, isu kekurangan bekalan air kepada masyarakat Labuan pada awal Disember, telah sekali lagi mendesak mahasiswa yang dianggotai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI) dan MPMN bertemu dengan Perdana Menteri di Putrajaya bagi membincangkan penyelesaiannya. Pihak kerajaan akhirnya bersetuju menimbangkan tuntutan mahasiswa di dalam isu tersebut.

    Membela hak mahasiswa


    Disamping menjadi suara penghubung antara rakyat kepada pemerintah, gerakan mahasiswa turut tidak terlepas dalam memperjuangkan isu yang menimpa hak-hak mahasiswa.

    Umpamanya di dalam isu kenaikan harga yuran yang terlampau tinggi dan membebankan di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), telah mendesak tertubuhnya gerakan mahasiswa sedar (GMS) yang menuntut agar pentadbiran KUIS mengkaji dan menurunkan yuran segera. Perjuangan ini mendapat perhatian Menteri Besar Selangor dan akhirnya membuat keputusan memberikan peruntukan kebajikan khas kepada mahasiswa.

    Desakan demi desakan keatas undang-undang yang cuba menyekat aktivisme serta membunuh idealisme mahasiswa terus giat dilakukan. Apabila kerajaan bersetuju untuk menggunakan sistem E-Undi di dalam pilihan raya kampus (PRK) , mahasiswa seluruh universiti bangkit dan menubuhkan satu gerakan yang dinamakan Gabungan Mahasiswa Membantah E-Voting (BANTAH), dengan bermatlamat menyekat berlakunya pencabulan demokrasi kampus melalui sistem ini.

    Dan pada bulan November, gerakan ini berjaya menyerahkan memorandum bantahan dan tuntutan mahasiswa kepada menteri dan timbalan menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), setelah satu himpunan bantahan E-Voting dilancarkan di UPM.

    2009 dan gelombang baru mahasiswa


    Tahun 2009 menyaksikan satu gelombang bentuk baru kepada gerakan mahasiswa telah terjadi. Seakan mahu mengembalikan kegemilangan gerakan mahasiswa era 80-an namun dalam dimensi baru yang lebih terkehadapan.

    Status check and balance kepada kerajaan pemerintah, mahupun mana-mana pihak masih lagi menjadi prinsip utama gerakan mahasiswa yang tegar untuk digugah walau zaman demi zaman telah berlalu. Mahasiswa akan kekal menjadi kelompok watch dog, menyuarakan pandangan tanpa dikongkong, menjadi benteng pertama rakyat dan bersedia menggantikan kepimpinan seandainya ia memerlukan.

    Apa yang pasti, sekatan dan tekanan kepada mahasiswa pasti akan berlangsung tanpa henti. Namun, ini sekali-kali bukan menjadi tunggul yang menghalang dari gerakan itu mati atau rebah sekalipun semua pemimpinnya dibunuh.

    Benar seperti ungkapan seorang tokoh aktivis mahasiswa, “Kerajaan atau mana-mana pihak boleh memenjarakan mahasiswa, namun mereka tidak boleh menghalang kebangkitan mahasiswa!”.

    ————
    *Aizat Salleh ialah exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) dan suka mengajak rakan aktivis kepada revolusi pemikiran vis-à-vis ‘Liberal Syariatik’. Malah dengan secawan kopi, beliau mudah berkongsi idea dan pandangan. Kini beliau menerajui Gabungan Mahasiswa Bantah E-undi (BANTAH)

    sumber : mahasiswakini

    more
  • Akhlak pelajar kolej komuniti membimbangkan
    KUALA LUMPUR, 10 Dis: Dr. Lo' Lo' Ghazali (PAS-Titiwangsa) mendakwa sahsiah dan akhlak pelajar-pelajar Kolej komuniti membimbangkan menyebabkan ibu bapa ragu-ragu untuk menghantar anak mereka melanjurtkan pelajaran ke institusi berkenaan.

    Dr. Lo' Lo' sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi ingin tahu samada mata pelajaran Pendidikan Agama Islam diajar atau tidak di kolej berkenaan.

    "Saya mendapat rungutan daripada ibu bapa yang gusar untuk menghantar anak mereka ke kolej komuniti kerana ia dicemari dengan budaya negatif seperti budaya couple, vandalisme, buli dan sebagainya.

    "Adakah mata pelajaran Agama Islam turut diajar kepada mereka bagi memastikan mereka bukan sahaja menjadi pekerja yang amanah tetapi tinggi akhlak dan sahsiahnya," soalnya.

    Sebelum itu, Datuk Dr. Tekhee @ Tiki anak Lafe (BN-Mas Gading) meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan jumlah terkini Kolej Komuniti dan jumlah keseluruhan pelajar sepenuh masa mengikut bidang kursus yang mereka ikuti di seluruh negara dan mekanisme yang digunakan untuk memastikan mereka tidak akan menyumbang kepada masalah graduan menganggur di negara ini nanti.

    Timbalan Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah (BN-Temerloh) dalam jawapannya memberitahu, sehingga Oktober 2009, terdapat 42 buah kolej komuniti induk dan 18 buah kolej komuniti cawangan yang beroperasi di seleruh negara.

    Bilangan enrolmen pelajar program sepenuh masa, bagi sesi pengajian Julai 2009 ialah seramai 17,279 orang. Sebanyak 34 program pendidikan dan latihan dalam bidang teknkal, teknologi, perdagangan dan perkhidmatan dijalankan di kolej komuniti.

    Beberapa langkah telah dilaksanakan bagi memastikan graduan kolej komuniti memenuhi pasaran kerja, antaranya ialah menggunakan pendekatan Work-Based Learning (WBL) yang mewajibkan pelajar menjalankan latihan pekerjaan selama setahun di tempat kerja.

    Selain itu, Kementerian juga melaksanakan Skim Pengukuhan Graduan (SPG) yang bersifat enrichment, reinforcement, dan updating berkonsepkan tambah nilai, khususnya dalam bidang teknikal, teknologi, perkhidmatan dan keusahawanan.

    Sumber : harakahdaily

    more
  • Masalah air desak mahasiswa ke Putrajaya

    Putrajaya 08 Disember 07:58a.m │ Berikutan masalah bekalan air yang terus yang telah melanda Wilayah Persekutuan Labuan telah mendesak mahasiswa terutamanya dari Sabah dan Sarawak turun ke Putrajaya bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

    Penyerahan memorandum berkenaan diketuai oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) disamping beberapa front yang bernaung bersama dibawah koalasi mahasiswa berkenaan termasuk Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-M), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) serta Markas Siswa Siswi Islam Sabah Sarawak (MARSIS).

    Majoriti mahasiswa di negeri berkenaan telah merungut kerana masalah ini telah lama berlarutan sehingga kini dan mengakibatkan ketidakselesaan berlaku di kalangan mahasiswa dalam menjalani sesi pengajian mereka.

    Tambahan lagi, perkara ini telah menyebabkan masalah-masalah lain di kalangan masyarakat kampus telah timbul seperti kesukaran pelajar untuk menjaga kebersihan diri seperti membasuh pakaian dan mandi, keadaan bilik kuliah yang panas kerana penghawa dingin tidak dapat berfungsi dengan baik dan sebagainya.


    “Usaha ini sebagai memperjuangkan kebajikan mahasiswa di sana (Sabah), dalam masa yang sama demi kebaikkan penduduk di Labuan,”ujar seorang wakil dari Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia Negeri Sabah.

    Memorandum berjaya diserahkan kepada pegawai khas perdana menteri.-Mahasiswakini

    more
  • 2 Mahasiswa Maut Kereta Terjunam Dari Parkir Pasar Raya Sebuah kereta jenis Ford Laser TX3 berwarna kuning dipercayai dipandu dengan laju dibahagian atas tempat letak kereta Pasaraya KB Mall dan merempuh dinding penghadang lalu tembus ke bahagian tengah escalator utama Pasaraya KB Mall sehingga mengakibatkan kematian 2 orang pengunjung dan 2 lagi dilaporkan parah.

    Mereka yang terbunuh dikatakan sedang berada diatas escalator sebelum ditimpa oleh kereta tersebut yang jatuh dari tempat letak kereta tingkat 3 bangunan KB Mall. mereka yang terbunuh dan tercedera dimaklumkan sebagai mahasiswa Kolej Masterskill Kota Bharu yang berjunjung ke KB Mall.

    Mangsa, Siti Nor Amira Samsuddin 19, Siti Nor Diana Azman 18 dan Rashidah Ahmad Lutfi 24, berada dieskalator berkenaan ketika kejadian berlaku. Siti Nor Amira yang cedera parah dikepala, terbunuh ditempat kejadian, manakala Siti Nor Diana menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital setelah mengalami pendarahan yang teruk di kepala.

    Seorang lagi mangsa, Rashidah yang cedera parah masih berada di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

    Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta berkenaan dipercayai melarikan diri dan gagal dikesan sehingga kini. pihak KB Mall telah menghentikan dengan serta-merta semua operasi perniagaan didalam KB Mall sebaik sahaja kemalangan tersebut berlaku. tidak diketahui berapa hari operasi perniagaan akan dihentikan berikutan pihak KB Mall terpaksa melakukan kerja baik pulih yang banyak.

    Setakat ini, jumlah kerugian masih belum diketahui dan punca sebenar kejadian juga masih dalam siasatan pihak polis.

    more
  • Demontrasi: Mahasiswa pertikai pemuda PAS-PKR buat laporan polis SOLiDARiTi Mahasiswa Malaysia (SMM) pagi tadi mengkritik tindakan Dewan Pemuda PAS Kelantan (DPPK) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung dua perhimpunan tanpa permit di kedua-dua negeri terbabit.

    Pengerusinya, Shazni Munir Mohd Ithin berpendapat bahawa kedua-dua laporan terbabit seolah-olah menghalang perhimpunan rakyat, sebagaimana yang dijamin perlembagaan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948(UHDR).

    “Membuat laporan Polis seolah-olah pihak terbabit (DPPK dan AMK Pulau Pinang) cuba menghalang kebebasan berhimpun seperti dalam Perlembagaan dan deklarasi hak asasi (UHDR),” jelasnya ketika dihubungi wartawan.

    Dakwanya lagi, amalan mendapatkan permit berhimpun daripada Polis merupakan amalan Umno dan BN demi mengekang suara rakyat.

    “Orang yang nak desak satu-satu perhimpunan perlu ada permit Polis macam Umno. Kerajaan Pakatan Rakyat tidak perlu ikut Umno menghalang perhimpunan aman,” ujarnya.

    Ujarnya lagi, kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat seharusnya bersikap terbuka dalam aksi demontrasi rakyat, hatta Umno sendiri.

    “Demontrasi rakyat tidak kira mana pihak sekalipun, walau datangnya dari Umno, kerajaan perlu bersikap terbuka.”

    “Kalau dulu sebelum memerintah, pembangkang (Pakatan Rakyat) selalu melaung-laungkan kebebasan berhimpun (walaupun) tanpa permit Polis, kenapa hari ini mendesak pihak yang dibangkang (Umno/BN) mendapatkan permit Polis terlebih dahulu,” ujarnyalagi.

    Beliau yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) meminta pihak yang terbabit menarik semula laporan polis dan segera meminta maaf kepada rakyat.

    “Kita minta laporan POlis ditarik balik dan segera minta maaf kepada rakyat,” jelasnya lagi.

    Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Baihaqi Atiqullah yang dihubungi kemudian menjelaskan bahawa pihaknya tidak berniat menghalang mana-mana perhimpunan rakyat.

    Sebaliknya, beliau berpendapat mana-mana perhimpunan rakyat perlu mengikut peraturan serta mendapatkan permit Polis terlebih dahulu.

    “Nak berhimpun, kita (Pemuda) tidak ada masalah. Sebagaimana kita (Pemuda PAS) diminta dapatkan permit polis, kita minta (Umno Kelantan) buat permintaan (permit berhimpun) yang sama,”jelasnya.

    Jelasnya lagi, keputusan membuat laporan Polis tersebut demi memastikan ketenteraman awam terpelihara.

    “Kita buat (laporan) kerana tidak mahu ada gangguan ketenteraman awam di SUK (Bangungan Setiausaha Kerajaan Negeri),” jelasnya.

    Beliau yang juga Adun Pasir Tumboh berkata, Perhimpunan 10 ribu Menyokong Kepimpinan To Guru pagi ini turut dimaklumkan kepada Polis.

    “Kita pun maklum kepada Polis…kita (Pemuda PAS) ambil kesempatan dengan perhimpunan biasa yang sah pagi ini (iaitu kuliah Jumaat).”

    Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Amir Ghazali pula menegaskan laporan polis yang dibuat pihaknya bukan berniat menghalang perhimpunan tanpa permit.

    Sebaliknya, laporan tersebut berkaitan tindakan pemuda Umno negeri menggoncang pagar Dewan Undangan Negeri (DUN), yang didakwa berunsurkan provokatif.

    “Kita buat laporasn polis bukan kerana perhimpuan haram…kita buat laporan Polis kerana provokasi pemuda Umno menggoncang pagar DUN Pulau Pinang.”

    Jelasnya, tindakan provokasi itu sekali gus seolah-olah menghina kewibawaan DUN dan kerajaan yang memerintah.

    Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya turut membuat laporan polis berkaitan laporan palsu TV3 kononnya perhimpunan pemuda Umno tersebut ekoran sikap kerajaan negeri membohongi rakyatnya.

    Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa AMK menggalakkan sebarang perhimpunan aman sebagaiman yang dijamin dalam Perlembagaan dan UHDR.

    Isnin lepas, lebih 100 pemuda Umno negeri melancarkan demontrasi di depan DUN Pulau Pinang.

    Demontrasi tersebut ekoran beberapa tindakan kerajaan negeri yang didakwa tidak menguntungkan rakyat.

    Selasa lepas, lebih 100 pemuda Umno negeri berhimpun di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan Kelantan (SUK) membantah kepemimpinan Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

    Bantahan tersebut ekoran kenyataan Nik Aziz menyeru rakyat berdoa agar Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dibinasakan kerana enggan memberikan hak menguruskan wang royalti minyak negeri itu.

    sumber > http://zainulfaqar.wordpress.com/

    more
  • Dilemma Biro Tata Negara Oleh : Nur Azim Fahada Bin Ahmad*

    Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ‘ kalau tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang’. Inilah pepatah yang cukup sesuai dengan isu yang sedang hangat diperkatakan dalam media arus perdana kita pada masa sekarang ini. Isu Biro Tatanegara kini menjadi topik hangat dikalangan masyarakat Malaysia pada ketika ini.

    Isu ini menjadi hangat apabila Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah untuk mengharamkan pelajar-pelajar dan kakitangan awam dibawah pentadbiran kerajaan negeri daripada mengikuti program Biro Tatanegara (BTN) yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri(JPM) .

    Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah mengambil langkah yang sama dengan mengharamkan penglibatan kakitangan kerajaan dan pelajar-pelajar institusi di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

    Apa itu BTN?

    BTN adalah satu program kelolaan terus daripada Jabatan Perdana Menteri. Ia merupakan program berbentuk kenegaraan yang bermatlamatkan untuk membentuk semangat patriotik kepada peserta BTN tersebut.

    Antara program yang dianjurkan semasa kem BTN ini adalah modul kenegaraan dimana peserta didedahkan dengan sejarah-sejarah negara kita ini.

    Malangnya, BTN ini telah dijadikan alat oleh kerajaan sekarang untuk mendoktrinisasikan rakyat Malaysia dengan mengambarkan beberapa pihak sebagai penjenayah,pengkhia nat dan sebagainya sebaliknya menerapkan hanya kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) sekarang ini sahajalah yang layak untuk mentadbir Malaysia.

    Doktrin-doktrin yang bersifat perkauman dan permusuhan inilah telah menyebabkan matlamat BTN yang pada asalnya untuk menyemai semangat patriotik telah bertukar kepada matlamat untuk mencatuhkan sesetengah pihak.

    Doktrin-doktrin ini jugalah telah menyebabkan persoalan apa itu BTN boleh disalah ertikan kerana matlamat penganjuran kem tersebut telah terpesong daripada matlamat asalnya.

    Boikot dan Haramkan BTN

    Niat jahat kem BTN dalam menimbulkan kebencian rakyat kepada sesetengah pihak menjadikan ia sudah tidak relevan untuk dilaksanakan lagi pada ketika ini. Ia juga menjadi satu bentuk yang kontradik dengan konsep 1 Malaysia yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri.

    Jalan penyelesaian cukup terbatas sama ada BTN ini harus diharamkan atau BTN ini harus diboikot selagi tidak ada jaminan daripada kerajaan Malaysia sendiri terhadap modul-modul yang menyemai semangat kebencian kepada sesetengah pihak dalam kem BTN ini.

    Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk merombak semula kurikulum BTN yang disifatkan sudah agak ketinggalan zaman.

    Pandangan bekas Timbalan Perdana Menteri ini jelas menunjukkan bahawa BTN ini memang tidak relevan lagi kerana banyak kepincangan yang berlaku semasa proses pelaksanaan kem tersebut.

    BTN juga disalahguna untuk menjadi senjata ampuh yang dapat menyebarkan doktronisasi dalam setiap lapisan atau golongan masyarakat semata-mata untuk kepentingan peribadi sehingga menyebabkan berlakunya budaya ‘Pak Turut’ dan terkesan di dalam semua agensi kerajaan khasnya dan masyarakat umumnya.

    Ini bukan budaya Melayu

    Budaya memperlekehkan orang lain bukanlah budaya masyarakat Melayu. Tetapi inilah realiti yang berlaku dalam kem BTN. Pendedahan mengenai doktrin bangsa lain bangsa penumpang adalah satu bentuk doktrin yang cukup keterlaluan kepada kita.

    Cubaan untuk menyemaikan perkara-perkara ini jelas bertentangan dengan prinsip 1 Malaysia dan ia juga tidak langsung membantu menwujudkan perpaduan kaum dalam negara Malaysia.

    Tragedi berdarah 13 Mei harus diambil pengajaran. Kem BTN janganlah memainkan isu perkauman dan menyalakan api-api permusuhan antara kaum kerana ia jelas akan merencatkan perjalanan susur jalur pentadbiran dan ekonomi negara. Inilah yang kita cukup bimbangkan.

    Kesan doktrin-doktrin jahat daripada BTN ini memberikan implikasi buruk kepada pembangunan insan negara dan pembangunan ekonomi negara.

    Oleh itu, saya melihat bahawa masalah BTN sepatutnya diselesaikan di awal pemerintahan Dato’ Seri Najib dan seharusnya bertepatan konsep 1 malaysia. Tetapi ianya dijadikan alat menjadi untuk memenangkan satu pihak dan memburukan satu pihak yang lain.

    Usaha menukar konsep dan pendekatan berdasarkan modul-modul berkonsepkan 1 malaysia nampaknya dipandang remeh dan dilambatkan walaupun perbincangan konsep BTN dikatakan pernah diadakan. Gesaan telah dibuat untuk dikaji semula modul-modul BTN ini.

    Segala kepincangan yang didedahkan kepada umum harus diambil serius oleh semua pihak. Janganlah disebabkan doktrin-doktrin jahat ini akan menyebabkan sistem keamanan negara terjejas dek kerana ketamakan kuasa pemimpin-pemimpin negara sekarang ini.

    ————

    *Penulis merupakan Pengerusi Exco Kebajikan MPPUTM sesi 2009 merangkap Pengerusi Pro Mahasiswa UTM Skudai.

    more
  • Kemana bekas bakal Presiden Evolusi@Aspirasi?

    Oleh : Qawiyul Amin

    Penulis dimaklumkan bahawa bekas bakal Presiden Evolusi@Aspirasi yang gagal merebut tempat Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa suatu masa dulu kini sudah ghaib ditelan duka nestapanya. Penulis juga difahamkan beliau jarang sekali dilihat datang ke Pejabat MPM, mungkin kerana kesibukan dengan komitmen lain.

    Mungkin beliau telah meletak jawatan tanpa memaklumkan kepada Presiden MPM yang sebenar. Kesian. Kesilapan percaturan dalaman Evolusi@Aspirasi telah menyebabkan beliau disingkirkan dari menerima pangkat yang menggunung tinggi, pangkat yang digilakan oleh orang yang mahu namanya terpahat dalam lipatan sejarah UTM.

    Evolusi@Aspirasi akan terus melahirkan pemimpin mahasiswa yang tiada jati diri, tiada halatuju perjuangan yang jelas. Konsep tangkap muat asalkan menang telah lama dipraktikkan oleh Evolusi@Aspirasi tanpa mengira kredibiliti dan kualiti kepimpinan calon-calon mereka.

    Berdasarkan maklumat yang sampai kepada penulis, ada beberapa lagi nama MPM Evolusi@Aspirasi yang turut ghaib dari pandangan mahasiswa. Hairan sungguh penulis dengan sikap wakil-wakil mahasiswa Evolusi@Aspirasi ni.

    Oh ya, mungkin sejak dari awal lagi mereka telah dipilih oleh ‘penaja-penaja’ yang berkepentingan, jadi mereka bukan dilantik sebagai perwakilan mahasiswa, tetapi perwakilan HEP atau perwakilan Pengetua kolej. Begitulah gamaknya.

    Macam-macamlah cerita politik kampus. Bilalah Evolusi@Aspirasi nak lahirkan pemimpin mahasiswa yang komited dengan amanahnya?

    more
  • Bagaimana Evolusi@Aspirasi membodohkan pemimpin mahasiswa?

    Oleh : Qawiyul Amin*

    Anda tahu bagaimana Evolusi@Aspirasi UTM membodohkan calon-calon mereka dalam pilihanraya kampus lepas?

    Penulis merujuk kepada Pilihanraya Kampus UTM 2008, dimana sejumlah calon tangkap muat telah dihantar oleh Evolusi@Aspirasi untuk mewakili kumpulan mereka.

    Jika diteliti, calon-calon yang betanding di kerusi umum yang dihantar oleh Evolusi@Aspirasi adalah berjumlah seramai 16 orang manakala 6 calon mewakili Pro Mahasiswa dan seorang calon bebas.

    Apakah tujuan Evolusi@Aspirasi melambakkan calon-calon mereka yang cuma ditangkap muat oleh pengetua-pengetua kolej sedangkan kerusi umum yang dipertandingkan hanya 10 kerusi? Adakah ada agenda tersembunyi atau ada tangan-tangan ghaib yang cuba mencaturkan calon-calon tersebut? Kesian mereka..

    Pada hemat penulis, Evolusi@Aspirasi cuba memperbodohkan bakal pemimpin mahasiswa semasa-mata untuk meningkatkan peratusan kemungkinan mereka memenangi majoriti kerusi umum. Sedangkan calon yang mengalami kekalahan akan terus disisihkan malah langsung tidak dipandang oleh ‘penaja-penaja’ Evolusi@Aspirasi.

    Inilah politik murahan Evolusi@Aspirasi yang membodohkan bakal pemimpin mahasiswa.

    Dengan menggunakan nama Evolusi@Aspirasi, mereka telah menghantar sebanyak mungkin calon ke dalam pertandingan kerusi umum, maka peluang untuk Evolusi@Aspirasi menang majoriti adalah lebih besar walaupun terpaksa mengorbankan beberapa calon. Penulis juga sangat memahami, ‘arahan dari langit’ yang mengarahkan supaya kemenangan berpihak kepada calon mahasiswa yang pro-kerajaan telah menyebabkan ‘mereka’ bertungkus lumus untuk memenangkan calon tangkap muat itu walaupun terpaksa membodohkan bakal pemimpin mahasiswa.

    Sekali lagi, inilah politik murahan Evolusi@Aspirasi.

    Evolusi@Aspirasi tidak akan menggugurkan atau mengurangkan calon-calon mereka mengikut jumlah kerusi yang dipertandingkan kerana khuatir calon-calon tersebut akan melompat dan menyokong Pro Mahasiswa. Evolusi@Aspirasi bersama labu-labunya akan terus takut dengan bayang-bayang sendiri, kerana Evolusi@Aspirasi tidak mempunyai suatu agenda perjuangan idealism yang jelas, tetapi cuma mengikut telunjuk ‘penaja-penaja’ yang berkepentingan.

    Calon Fakulti

    Lambakkan calon Evolusi@Aspirasi di fakulti-fakulti juga turut berlaku.

    FPPSM : 4 calon aspirasi untuk merebut 3 kerusi.

    FKE : 4 calon Aspirasi untuk merebut 3 kerusi.

    FKM : 5 calon Aspirasi untuk merebut 3 kerusi sedangkan Pro Mahasiswa tidak menghantar calon lawan.

    FKKSA : 4 Calon Aspirasi untuk merebut 3 kerusi.

    FKSG : 4 Calon Aspirasi untuk merebut 3 kerusi.

    Di fakulti yang tidak disertai oleh Pro Mahasiswa, jika mereka hanya menghantar 3 orang calon sudah pasti Evolusi@Aspirasi akan menang tanpa bertanding. Apakah agenda Evolusi@Aspirasi untuk pembangunan kepimpinan mahasiswa??

    Evolusi@Aspirasi akan menjadi sebuah kumpulan yang mempunyai limpahan wang yang banyak, tapi tetap pengecut untuk bertanding 1 lawan 1 di setiap kerusi yang dipertandingkan. Evolusi@Aspirasi takut nasib tidak menyebelahi mereka yang akan mengakibatkan tiada alasan dan jawapan untuk dihantar ke ‘langit’.

    Kepada bakal-bakal calon Evolusi@Aspirasi untuk PRK akan datang, anda akan terus diperbodohkan lagi sekali oleh ‘penaja-penaja’ anda.

    Sudah-sudahlah..cukup-cukuplah otak mahasiswa jadi tin kosong. Mahasiswa sekarang bukan senang nak diperbodohkan..

    *Qawiyul Amin merupakan salah seorang penulis jemputan yang dijemput untuk menulis dalam ruangan kolumnis blog Pro Mahasiswa UTM.

    more

Video Pro-Mahasiswa

Followers

Photos

Kemaskini Berita